Saturday, April 23, 2011

Perkahwinang Royal - Prince William & Kate

Posted by FadhDeela at 9:07 PM
Reactions: 

Pernah menyaksikan perkahwinan selebriti ternama yang yang dikategorikan sebagai Wedding Of Year? Penulis percaya majoriti peminat hiburan tempatan ternanti-nanti malahan teruja tatkala menunggu tarikh perkahwinan selebriti popular tanah air. Buktinya, perkahwinan Erra Fazira dan Yusry (suatu ketika dahulu), Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid Muhd Jiwa, Mawi dan Ekin serta angkasawan tunggal negara Datuk Sheikh Muszaphar Shukor dan Dr Harlina Yunos adalah antara rangkaian Wedding of the Year yang mendapat liputan meluas seluruh masyarakat.

Majlis perkahwinan gilang gemilang yang semestinya menuntut jumlah belanja yang besar ini bukan sahaja disaksikan oleh tetamu-tetamu daripada golongan kenamaan atau vvip malahan orang-orang kebanyakan juga berpeluang menyaksikan selebriti kesayangan mereka menjadi raja sehari melalui siaran langsung daripada kaca televisyen.

Justeru, tahun ini sebuah lagi Wedding of the Year bakal mencatat sejarah tersendiri bilamana pewaris takhta di raja Britain iaitu Putera William bakal melangsungkan perkahwinan baginda dengan gadis pilihan hatinya, Kate Middleton, 29. Mula bertemu di University of St Andrews, peribadi dan personaliti Kate telah berjaya menambat hati William.

Pemilik nama sebenar Catherine Elizabeth Middleton yang bakal bergelar permaisuri Britain ini bukanlah gadis kebanyakan yang datang daripada keluarga sembarangan kerana selain cantik, beliau juga berfikiran bijak, matang dan berpendidikan tinggi. Bekas penuntut di university tempat mereka bertemu ini dilahirkan pada 9 January 1982 dan keluarganya merupakan keturunan bangsawan dari Afrika.

Melalui perkahwinan itu nanti, Kate bakal menjadi isteri Putera waris ke-7 monarki pemerintah Britian sekaligus akan menggunapakai gelaran yang pernah diberi kepada mendiang Puteri Diana suatu ketika dahulu iaitu Her Royal Highness The Princess of Wales. Rata-rata masyarakat bersetuju dengan pilihan hati Putera William ini kerana ia mengingatkan masyarakat kepada kecantikan, kebijaksanaan dan juga kesantunan budi mendiang Puteri Diana yang popular dengan jolokan ‘Puteri di Hati Rakyat’.

Pasangan mempelai ini dikhabarkan telah mengundang kira-kira 1,900 tetamu bagi menghadiri majlis perkahwinan mereka pada 29 April ini. Antaranya termasuklah kerabat diraja, pemimpin-pemimpin dunia, sahabat handai dari University St Andrews dan keluarga daripada kedua belah pihak. Mereka juga turut menjemput 80 tetamu daripada pertubuhan amal kelolaan Putera William yang terdiri daripada golongan kurang bernasib baik.

Sesuatu yang istimewa di sebalik mengenai perkahwinan ini, Putera William dan Kate telah sepakat untuk mengundang bekas kekasih mereka. Difahamkan, empat bekas teman wanita Putera William dan dua bekas teman lelaki Kate akan hadir bagi sama-sama meraikan hari bersejarah mereka. (Nangis beb bekas2 awek2 prince william hahahahaha)

Sedikit maklumat mengenai majlis perkahwinan ini, kos perkahwinan dijangka mencecah USD 20 Juta atau RM 60 Juta! Kau mampu? Gereja Westminster Abbey yang pernah menjadi saksi perkahwinan mendiang Puteri Diana bakal menjadi tempat rasmi majlis perkahwinan mereka. Selesai majlis di gereja ini pula, pasangan pengantin akan berarak dengan kereta berkuda melalui bangunan parlimen di London sebelum menuju ke Istana Buckingham bagi acara rasmi yang dianjurkan oleh nenda penganti lelaki iaitu Ratu Elizabeth ke-2. Disebelah malam pula majlis tari menari yang dianjurkan oleh Putera Charles akan diadakan di Istana yang sama.

Sebuah laporan akhbar baru-baru ini menyebut bahawa Kabinet Britain telah dimaklumkan bahawa sejumlah dua bilion orang dari seluruh dunia dijangka menyaksikan upacara perkahwinan diraja Britain ini melalui siaran langsung di televisyen. Sungguhpun begitu, ia belum cukup untuk memecahkan rekod yang pernah dicatat oleh ibubapa Putera William iaitu Puteri Diana dan Putera Charles. Institut Filem Britain sebelum ini telah memberitahu bahawa sejumlah 2.8 bilion penonton televisyen Britain telah menyaksikan majlis perkahwinan paling gah dan gilang gemilang pada 1981 antara Charles dan Diana!

Di sebalik keterujaan masyarakat untuk menyaksikan perkahwinan diraja ini, masih ada hati yang kurang senang dengan perkhabaran yang satu ini. Sebagai bukti, wujud kata-kata nakal yang cuba mempengaruhi Kate untuk membatalkan perkahwinan beliau dengan William. Amaran keras yang diberikan oleh bapa Dodi Fayed, Mohamed Al Fayed bahawa keluarga diraja Britain akan memusnahkan kehidupan Kate seperti yang dilakukan terhadap Diana bagaimanapun langsung tidak menggangugugat cinta Kate terhadap William. (Dodi Al Fayed merupakan kekasih Puteri Diana yang sama-sama terbunuh dalam kemalangan kereta di Paris pada 1997).

Ramalan jumlah penonton yang bakal menyaksikan perkahwinan diraja ini dan Kate yang dilihat sebagai pengganti ibu William yang meninggal dunia dalam kemalangan ngeri 14 tahun lalu mungkin hampir terjawab menjelang 29 April nanti. Namun sejauh mana mahligai perkahwinan ini akan berkekalan sehingga ke akhirnya masih belum ada siapa yang dapat meramal. Semoga tidak wujud campur tangan yang melampau daripada keluarga terdekat mahupun orang ketiga dalam perkahwinan William dan Kate ini nanti!

2 comments:

Ardini Humaira said...

bertuanya kate tu ;)

fadhdeela said...

Ardini Humaira: tu la pasal..huhuhu nak tgkk wedding dia nnt :)

 

Selipar_Toilet Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review